KUALA LUMPUR – Bapa kepada penyanyi dan komposer popular Aizat Amdan, Datuk Amdan Mat Din, 62, telah meninggal dunia pada pukul 1.10 pagi tadi selepas hampir dua tahun diserang penyakit angin ahmar yang kronik.
Perkara tersebut telah disahkan oleh Aizat sendiri menerusi laman Instagramnya kira-kira pukul 3 pagi melalui kemas kini Insta Story.
“Assalamualaikum, dukacita ingin saya beritahu bahawa ayah saya, Amdan Mat Din telah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.10 pagi, Rabu 9 Januari.
“Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham, terima kasih,” tulisnya lagi.
Pada tahun 2017, arwah bapa Aizat telah diserang angin ahmar yang agak teruk dan mengalami lumpuh separuh badan bahagian kanannya.
Aizat telah membawa bapanya tinggal bersama-sama sejak insiden berkenaan bagi memberi perhatian penuh kepada arwah memandangkan kedua ibu bapanya sudah berpisah. – K! ONLINE










