KKEC UiTM: Seorang dibenar keluar, tujuh masih dipantau

KKEC UiTM: Seorang dibenar keluar, tujuh masih dipantau

DR. MOHD. Sazili Shahibi (tiga dari kanan) menziarahi seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh, Pahang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Semua peserta Cabaran Ketahanan Komander Kesatria (KKEC) 2026 yang menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dan Hospital Jengka, dilaporkan stabil dan menunjukkan perkembangan positif.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, keadaan peserta yang masih menerima rawatan kini semakin baik berbanding ketika mereka mula mendapatkan rawatan selepas mengalami masalah kesihatan ketika menyer­tai program berkenaan.

Beliau berkata, seorang peserta yang sebelum ini mendapatkan rawatan di hospital sudah dibenarkan keluar manakala mereka yang masih berada di hospital terus dipantau dan akan dibenarkan pulang selepas mendapat pengesahan serta kebenaran pihak perubatan.

“Sekarang ini boleh dikatakan semua yang mendapat rawatan sudah sedar. Yang di unit rawatan rapi (ICU) pun sudah sedar dan boleh bercakap dan seorang lagi sudah di wad biasa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia sempena Khidmat Komuniti KKEC 2026 di Permatang Shahbandar, Jengka di sini.

Berdasarkan perkembangan terkini, dua peserta yang masih menerima rawatan di HoSHAS ialah Liya Zafirah Muhammad dari UiTM Cawangan Perak manakala Meor Aqil Wildan dari UiTM Cawangan Perlis turut berada dalam pemantauan di hospital sama.

Lima lagi pelajar di Hospital Jengka ialah Nur Nabihah Musyidah Md. Nasri dari UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat, Nur Alia Farhana Abdul Fattah dari UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, Muhamad Adam Azfar Suzaini dan Muhammad Anas Shahrul Nizat dari UiTM Cawangan Johor, serta Izzharith Zafran Muhammad Zulkarnain dari UiTM Cawangan Pahang,” katanya.

Menurut Mohd. Sazili, peserta yang ditempatkan di wad biasa turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan malah ada yang sudah kelihatan ceria ketika menerima kunjungan.

Beliau turut menjelaskan ke­­ada­an awal peserta tidak seharusnya digambarkan seolah-olah semuanya tidak sedarkan diri, sebaliknya mereka mengalami keadaan seperti lemah dan dehidrasi sebelum menerima rawatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×