KOTA TINGGI 6 Jan. – Lebih 300 penduduk Kampung Felda Sungai Mas di sini tidak bersetuju dan membantah pelantikan ketua kampung baharu mereka yang disifatkan sebagai tidak layak.
Imam Masjid Besar Felda Sungai Mas, Hamim A. Samad, 68, mendakwa, ketua kampung itu yang dilantik pada 20 Disember lalu tidak memenuhi kriteria selain dibuat atas pelantikan politik dan bukan kerana kebolehannya memimpin di peringkat akar umbi.
Pada awalnya kata Hamim, penduduk membuat bantahan secara bertulis dan memberikan dua nama sebagai calon ketua kampung berdasarkan kelayakan dan hubungan dengan komuniti setempat.
“Kami menghantar surat kepada pihak Pejabat Daerah Kota Tinggi pada September 2018. Kami membantah sebab-sebab calon yang dinamakan yang kini menjadi ketua kampung.
“Selain itu kami juga menghantar surat kepada ke Pejabat Menteri Besar Johor dan Pejabat Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri pada 19 Disember lalu,” katanya ketika ditemui di felda tersebut, hari ini.
Pada 29 Disember lalu, Hamim bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Generasi Kedua Felda Sungai Mas, Mohd. Faizal Asmar, dan penduduk setempat mengadakan himpunan aman membantah ketua kampung yang baharu itu.
Sementara itu, Mohd. Faizal, 42, berkata, pihaknya mahukan ketua kampung yang mesra dan bergaul dengan masyarakat selain merupakan anak jati serta tinggal di kampung tersebut.
“Kita juga mahu ketua kampung mendapat kepercayaan warga Felda Sungai Mas untuk mentadbir kampung ini. Ini bagi membolehkannya mendengar pandangan dan suara masyarakat setempat.
“Penduduk juga mahu pemimpin dengan latar belakang baik dan dapat memupuk kemesraan serta tidak mempunyai masalah bukan sahaja dengan masyarakat tetapi keluarga sendiri,” katanya.
Beliau hairan, hanya disebabkan individu terbabit memacakkan bendera parti Amanah Negara (Amanah) sebelum pilihan raya umum lalu, maka dilantik menjadi ketua kampung tanpa mengambil kira karismanya.
Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Cawangan Sungai Mas, Khairul Nizam Othman, 34, berkata, penduduk memberikan tempoh sehingga 10 Januari ini untuk menukarkan ketua kampung sedia ada kepada pilihan mereka iaitu Zainal Omar, 56. – UTUSAN ONLINE










