Bank Negara lancar Dana Rumah Mampu Milik - Utusan Malaysia

Bank Negara lancar Dana Rumah Mampu Milik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini melancarkan Dana Rumah Mampu Milik (Dana BNM) berjumlah RM1 bilion sebagai inisiatif dalam membantu golongan B40 bagi memiliki rumah pertama.

Dana BNM tersebut telah dilancarkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata, Dana BNM diperkenalkan itu menyasarkan golongan berpendapatan tidak lebih RM2,300 bagi pembelian ruman mampu milik berharga sehingga RM150,000.

“Kerajaan telah menggariskan beberapa strategi dan insentif bagi menangani isu-isu perumahan malah, Dana BNM ini merupakan salah satu strategi yang akan dilaksanakan  bersama institusi-institusi kewangan terlibat.

“Bilangan kediaman tidak terjual meningkat kepada 30,115 unit pada suku ketiga tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 48 peratus pada 2017. Ia menunjukkan ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran rumah di pasaran,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Dana Rumah Mampu Milik dan Portal Rumahku di Sasana Kijang di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin serta Gabenor BNM, Nur Shamsiah Mohd. Yunus.

Dana BNM tersebut tersedia selama dua tahun mulai 2 Januari lalu atau sehingga dana RM1 bilion habis digunakan.

Dalam pada itu, pemohon wajib mengikuti program pendidikan kewangan yang ditawarkan melalui portal dalam talian dengan penilaian kendiri dikenali sebagai RumahKu oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Institusi kewangan yang terlibat dalam inisiatif tersebut adalah seperti Ambank, BSN, CIMB Bank, Maybank dan RHB Bank. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×