KUALA LUMPUR – Sebuah banglo satu tingkat yang sedang dalam proses untuk dijual musnah 70 peratus selepas dijilat api dalam satu kebakaran di Jalan Dataran Tunku, di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Mohd. Hafizan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.45 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Seramai 28 orang anggota dengan menaiki tiga jentera dari BBP Sentul, Sri Hartamas dan Taman Tun Dr Ismail telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota bertugas mendapati kebakaran melibatkan sebuah banglo satu tingkat telah terbakar 70 peratus namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut Mohd. Hafizan, banglo tersebut tidak berpenghuni dan ia sedang di dalam proses untuk dijual.
“Bagaimanapun terdapat perabot di dalam banglo tersebut yang musnah dijilat api dan kami percaya panggilan dibuat oleh orang awam yang terlihat kebakaran tersebut.
“Kami sudah berhubung dengan ejen hartanah terbabit untuk mengenal pasti pemilik rumah berkenaan dan punca kebakaran masih di dalam siasatan,” ujar beliau.
Pihak bomba mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengawal kebakaran dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya sekitar pukul 9 pagi tadi. – K! ONLINE










