KUALA LUMPUR 6 Jan. – Berita Sultan Muhammad V turun takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 membuatkan rakyat Malaysia kembali berminat untuk ambil tahu tentang proses pemilihan Ketua Negara ini.
Menurut laman web rasmi Majlis Raja-Raja, prosiding pemilihan Yang di-Pertuan Agong akan melibatkan proses pengundian oleh sembilan Raja-raja Melayu semasa Persidangan Majlis Raja-Raja.
Pemilihan dilaksanakan secara undi sulit dan kertas undi yang digunakan adalah tidak bernombor serta ditandakan.
Sebaik sahaja keputusan undian diumumkan, kertas undi yang diletakkan di dalam peti akan dimusnahkan dengan cara dibakar atau dirincih (dikerat kecil-kecil).
Turut dinyatakan, Raja yang paling muda dari segi pemerintahan dan tidak tersenarai sebagai calon Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dipilih untuk mengira kertas undi bersama-sama Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Raja yang tidak dapat berangkat dalam Majlis Pemilihan itu boleh melantik seorang raja lain sebagai proksi untuk mengundi.
Pemilihan mengikut kekananan pemerintahan tidak lagi diguna pakai selepas pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang kesembilan.
Senarai yang diguna pakai kini dikenali sebagai senarai yang disusun semula berpandukan kekananan negeri yang rajanya telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong dalam pusingan pertama penggiliran (pertama hingga kesembilan).
Namun, keputusan akhir pelantikan akan tetap bergantung kepada keputusan undian dan persetujuan Raja yang terpilih.
Difahamkan, Majlis Raja-Raja akan bersidang esok bagi menentukan pengganti Sultan Muhammad V.










