Bacina terima keputusan FAM - Utusan Malaysia

Bacina terima keputusan FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Bekas penolong jurulatih skuad Bawah 19 (B-19) negara, Nenad Bacina berkata dia tidak mempunyai sebab untuk meninggalkan Malaysia walaupun kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah pun tamat pada 31 Disember lalu.

NENAD BACINA

Kata Bacina selepas mempunyai perjalanan karier yang cemerlang sepanjang mengemudi beberapa pasukan di Malaysia, jurulatih kelahiran Croatia itu berkata dia mahu mencuba nasib dengan mencari kelab di Liga Malaysia (Liga M) namun bukan dalam masa terdekat.

“Sebelum ini saya pernah bersama JDT selama satu musim juga bersama Hodak dan kami berjaya menjuarai Liga Super dan kemudiannya saya membimbing Pulau Pinang dan kami berjaya kekal dalam Liga Super sebelum membantu skuad B-19 negara memenangi Piala AFF B-19 buat kali pertama dan layak ke Kejuaraan AFC B-19 pada tahun lalu.

“Saya berjaya memainkan peranan saya dengan baik dan diharapkan mereka (skuad B-19 negara) dapat meneruskannya. Bagi saya ini bukan mengenai seorang jurulatih atau pemain tetapi ini pasal pasukan.

“Saya harap mereka meneruskan aksi cemerlang. Saya akan pulang ke Croatia pada Jumaat ini. Buat masa sekarang saya tidak mempunyai apa-apa perancangan tetapi apa yang pasti saya akan mencari kerja lain.

“Ini bukan kali pertama dan terakhir saya menukar pasukan. Saya berharap mungkin dapat mencari pasukan di Malaysia atau negara lain. Ini situasi biasa dalam bola sepak. Saya sudah berada di Malaysia selama empat tahun setengah dan saya tidak mempunyai sebab untuk tidak terus kekal di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, semalam.

Mengulas lanjut mengenai kontraknya tidak diperbaharui, jurulatih berusia 47 tahun itu berkata dia menerima keputusan FAM dengan hati terbuka malah berbangga kerana dapat menabur baktinya bersama pasukan.

“Saya diberitahu kontrak tidak diperbaharui, mungkin disebabkan kengkangan kewangan. Sudah pasti saya perlu menerima keputusan yang dibuat oleh FAM ini secara profesional namun sebagai jurulatih saya berasa sedih kerana tidak dapat meneruskan misi pasukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×