PULAU PINANG 27 Jan. – Kadar faedah dikenakan antara 30 hingga 40 peratus dan pinjaman RM2,000 perlu dibayar sehingga RM9,000.
Itu penindasan yang dikenakan sindiket pinjaman wang haram atau ahlong yang berleluasa di negeri ini terhadap orang ramai yang terdesak memerlukan wang.
Tidak mahu lebih ramai menjadi mangsa sindiket itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, ibu pejabat polis Daerah Timur Laut di sini hari ini mengadakan operasi menurunkan iklan-iklan pinjaman haram itu yang ditampal secara meluas di daerah ini.
Hasilnya, operasi itu yang bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari tadi berjaya menurunkan sebanyak 460 keping banting dan pelekat iklan pinjaman wang haram tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, operasi itu juga bertujuan mengurangkan risiko dalam kalangan orang ramai untuk terjebak dengan iklan-iklan pinjaman wang yang kononnya berlesen.
Sedangkan, kata beliau, iklan pinjaman menerusi banting dan pelekat itu mengenakan faedah tinggi yang dinaikkan dari semasa ke semasa sekali gus bertentangan dengan peraturan ditetapkan pihak berwajib.
“Golongan ahlong ini juga tidak menggunakan nama dan telefon sendiri dan cara pemberian serta penerimaan wang pula secara tunai tanpa sebarang rekod.
“Ugutan dan maki hamun juga dilemparkan kepada peminjam yang gagal membuat bayaran balik mengikut masa yang ditetapkan sekali gus perlu dibanteras bagi mengelak berlakunya jenayah lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya telah membuka 15 kertas siasatan membabitkan kes ahlong dengan empat daripadanya dituduh di bawah Seksyen 5(2) dan Seksyen 29 AA Akta Kesalahan Kecil.
Tambah beliau, kesemua siasatan itu membabitkan ejen-ejen sindiket ahlong berkenaan yang bertindak menampal dan mempromosikan pinjaman haram mereka menerusi banting dan pelekat.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di sekitar Georgetown supaya tidak terjerat dengan pinjaman ahlong yang boleh memakan diri.
“Sekiranya berlaku sebarang insiden tidak diingini membabitkan peminjam dengan sindiket ahlong ini, kita juga berdepan kesukaran dalam menjalankan siasatan memandangkan identiti sebenar ahlong ini tidak diketahui,” katanya. – UTUSAN ONLINE










