SEMPORNA 17 Jan. – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB) menahan 15 lelaki serta menggagalkan cubaan menyeludup keluar 400 tong minyak berisi petrol di Pulau Bohayen dekat sini, hari ini.

Semua lelaki berusia antara 12 hingga 50 tahun yang menaiki dua bot jongkong serta sebuah bot pam dengan membawa barang kawalan itu dipintas Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) selepas dikesan menerusi radar cuba merentas sempadan ke negara jiran, Filipina pada pukul 11.30 pagi tadi.
Komander ATB 2, Brig Jen Datuk Zarondin Md Amin dalam satu kenyataan hari ini berkata semua suspek tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah termasuk dua budak lelaki masing-masing berusia 12 dan 15 tahun.
“Pemeriksaan awal turut menemukan 400 tong minyak dengan setiap tong berisi 25 liter petrol berada di kedua-dua bot jongkong.
Bot pemintas bersama Ketua Kompeni QRF 18 RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja) (PARA) Kapten Mohd Azuan Arif Mohd Nizam diaturgerak untuk membantu bot Stingray 1 dan Rover 21 dan semua bot di bawa ke Penempatan Op Pasir Selatan PU Mataking,” katanya lagi.
Menurut Zarondin, pihaknya bertindak pantas sejurus selepas menerima maklumat mengenai penyeludupan itu dan petrol yang dirampas dianggar bernilai RM19,500.
Katanya lagi, rampasan dan tahanan diserahkan kepada Pasukan Polis Marin untuk tindakan selanjutnya. -BERNAMA










