LONDON 30 Jan. – Arsenal mengetepikan seketika rasa simpati terhadap insiden yang menimpa pemain Cardiff City, Emiliano Sala apabila menewaskan kelab Wales itu dengan keputusan 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.
Sala dilaporkan hilang selepas pesawat yang membawa penyerang Argentina itu serta juruterbang, David Ibbotson tidak dapat dikesan ketika menuju ke ibu negara Wales pada 21 Januari lalu.
Sala tidak berpeluang untuk bermain bersama Cardiff City, selepas perpindahannya bernilai 15 juta pound (RM80.68 juta) dari Nantes dimuktamadkan.
Dalam perlawanan tersebut semua pemain dan penyokong memberikan seminit penghormatan sebelum sepak mula.
Dua gol tuan rumah dalam perlawanan tersebut dijaringkan oleh Pierre-Emerick Aubameyang hasil sepakan penalti pada minit ke-66 dan Alexandre Lacazette pada minit ke-83 manakala gol tunggal Cardiff City diraih menerusi Nathaniel Mendez-Laing ketika masa kecederaan. – AGENSI










