KUALA LUMPUR – Golongan pesara kini boleh mendapatkan pelbagai maklumat berkenaan tips pengurusan perkhidmatan dan kesihatan secara lebih komprehensif melalui aplikasi MyPesara yang dilancarkan oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP pada Julai, 2017.
Dengan visi pendigitalan, MyPesara kini memasuki fasa kedua, yang mana pesara kini boleh menggunakan aplikasi untuk merekodkan maklumat kesihatan, fungsi e-kad dan hab maklumat melalui modul e-pembelajaran dalam faedah persaraan, pengurusan kewangan serta berinteraksi secara online untuk pertanyaan berkaitan persaraan.
Pengarah Jabatan Strategi dan Prestasi Korporat, Ismail Zakaria berkata, dengan membuat perancangan persaraan dan perkhidmatan pencen yang lebih dinamik dan interaktif di platform digital, aplikasi MyPesara berupaya untuk menyelesaikan pelbagai pertanyaan golongan tersebut secara online, tanpa perlu hadir ke pejabat KWAP atau menghubungi pusat talian setempat bagi perkara-pekara yang tidak kompleks.
“Mendekati bakal pesara seawal mungkin semasa dalam tempoh perkhidmatan adalah penting untuk kami membantu mereka bersedia di hari persaraan kelak.
“Dengan menggunakan teknologi mudah alih yang dilengkapi kemudahan penyimpanan data dan analisis, KWAP berhasrat untuk beroperasi dengan menyalurkan perkhidmatan yang lebih cekap dan memberi faedah berguna buat pesara,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.
Penambahbaikan aplikasi MyPesara memberikan pilihan menu yang mudah akses sekali gus membolehkan pengguna untuk menyemak maklumat peribadi, penyata pembayaran pencen, e-Kad Pesara, serta maklumat-maklumat penting dan terbaharu yang diumumkan oleh pihak kerajaan.
Selain itu, ia juga turut dilengkapi dengan ciri-ciri butang S.O.S sekiranya berlaku kecemasan; maklumat berkaitan perubatan; pemeriksaan rekod perubatan yang memantau kadar pengambilan air harian, glukosa dan tekanan darah serta kotak pil digital untuk mencari ubat-ubatan; serta aplikasi seperti kalkulator kewangan, aplikasi bajet, direktori perkhidmatan kecemasan, kalendar pembayaran pencen dan banyak lagi.
Pelanggan juga berpeluang memperoleh manfaat menerusi program manfaat yang disediakan termasuk pengumpulan dan penebusan kupon dan diskaun menerusi perkhidmatan rakan niaga seperti Alpro Pharmacy, CELCOM, Pizza Domino, Grab Malaysia, KPJ Healthshoppe, KPJ Sentosa, Mydin, Mynews.com, dan Institut Jantung Negara (IJN) serta lain-lain penglibatan rakan niaga dalam masa terdekat.
Rakan maklumat seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit Malaysia (AKPK), Hire Seniors, KPJ Healthcare turut menyumbangkan info-info bermanfaat untuk pesara dan pengguna aplikasi ini.
Tambah Ismail, usaha KWAP dalam mendigitalisasikan perkhidmatan pencen ini juga selaras dengan hasrat kerajaan Malaysia dalam merencanakan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) demi memperkemas perkhidmatan digital untuk setiap peringkat kitaran hayat pesara, selain untuk meningkatkan kehendak indeks Pembangunan E-Kerajaan yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Hari ini, kita hidup dalam era di mana para pengguna memeriksa telefon pintar mereka pada purata setiap enam minit.
“Oleh itu, pembaharuan ke arah digital dan penyusunan atur semula perkhidmatan serta reka bentuk penyampaian adalah perlu bagi memberikan pengalaman persaraan yang inovatif,” ujarnya.










