KUALA LUMPUR 28 Jan. – APLIKASI MyPesara yang dibangunkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dengan kerjasama Bahagian Pasca Perkhidmatan, pesara kerajaan mengemaskini data dan melihat maklumat berkenaan bayaran pencen yang diterima setiap bulan.

Pengarah Jabatan Strategi dan Prestasi Korporat KWAP, Ismail Zakaria berkata, aplikasi MyPesara yang telah ditambah baik kini hadir dengan enam ciri tambahan.
Katanya, menerusi versi sebelum ini, MyPesara membolehkan pesara mengetahui tentang maklumat persaraan, semakan status permohonan persaraan, informasi berkenaan persaraan dan panduan kewangan, pelbagai jenis panduan serta antara muka untuk pengumuman.
Namun katanya, dengan penambahbaikan dan kemaskini yang dibuat, aplikasi MyPesara lebih ringkas dan kemas dengan beberapa fungsi baharu.
“Antaranya adalah butang kecemasan ‘SOS’ yang membolehkan pengguna memberi amaran kecemasan kepada penjaga sekiranya berlaku kecemasan.
“Aplikasi ini juga hadir dengan fungsi e-kad mereka sendiri yang mana fungsi ini memudahkan pengguna memegang kad pesara secara maya dan kad ini boleh digunakan untuk membuat pelbagai transaksi dan menerima harga promosi dengan rakan niaga kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kini terdapat sembilan rakan niaga yang menawarkan diskaun dan kupon untuk pesara dan semua pengguna aplikasi MyPesara ini. Mereka adalah Alpro Pharmacy, CELCOM, Pizza Domino, Grab Malaysia, Institut Jantung Negara (IJN), KPJ Healthshoppe, KPJ Sentosa, Mydin dan Mynews.com.
Manakala, rakan maklumat seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Hire Seniors dan KPJ Healthcare turut menyumbangkan info-info bermanfaat untuk pesara dan pengguna aplikasi ini.
Tambahnya, KWAP juga turut merancang memperluaskan lagi rakan niaga dan rakan maklumat di dalam aplikasi ini.

Selain itu, menurut Ismail, MyPesara turut menambah ciri rekod kesihatan, kalkulator kewangan, jejak perbelanjaan dan banyak lagi.
“Aplikasi ini sesuai dan amat digalakkan untuk dimuat turun oleh para pesara kerajaan dan penjawat awam mahupun swasta. Dengan adanya aplikasi ini, ia sekaligus memudahkan anda untuk menguruskan hal persaraan dengan lebih mudah dan efisien.
“Kemaskini aplikasi MyPesara ini boleh dimuat turun oleh semua pengguna, sama ada pengguna Android mahupun iOS secara percuma,” katanya.










