Apa sudah jadi dengan Hijrah Selangor? - Utusan Malaysia

Apa sudah jadi dengan Hijrah Selangor?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 6 Jan. – Pinjaman sudah diluluskan lima bulan lalu, tetapi sehingga sekarang dana yang dipohon belum disalurkan kepada peminjam tanpa sebarang penjelasan dan alasan munasabah.

Itulah senario yang berlaku kepada peminjam skim mikrokredit Hijrah Selangor sebaik sahaja Pilihan Raya Umum Ke-14 melabuhkan tirai Mei lalu sehingga menimbulkan seribu satu persoalan apa sudah jadi pada skim tersebut.

Khabar angin yang bertebaran dalam kalangan para peminjam ketika ini adalah Hijrah Selangor kekeringan modal tetapi jika itu keadaannya, ia mencetuskan lebih banyak persoalan kerana skim tersebut menerima suntikan kerajaan negeri.

Bagi cawangan Petaling Jaya Utara sahaja, 110 pemin­jam sehingga kini belum mendapat sebarang dana yang dipohon, walaupun mereka semua sudah diberikan surat serahan dana tahun lalu.

Seorang peminjam, Siti Rohani Ambok Sulong berkata, dia sendiri diminta hadir ke majlis surat serahan dana pada 15 Oktober lalu tetapi sehingga awal tahun ini, pinjaman kurang RM5,000 yang dipohon tidak juga disalurkan.

“Sekarang ini pelbagai spekulasi tersebar mengenai kesukaran kami untuk mendapatkan pinjaman dari Hijrah Selangor, walhal program ini yang dimulakan sejak 2014 amat baik dalam membantu usahawan kecil seperti saya.

“Jadi kami mohon campur tangan kerajaan negeri dan Menteri Besar sendiri untuk menjelaskan perkara sebenar bagi memudahkan kami para peminjam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hijrah Selangor diperkenalkan semasa pentadbiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi menggabungkan skim-skim mikrokredit sedia ada Sela­ngor seperti SKIMSEL, MIMBAR dan WALA.

Dalam pada itu, Siti Rohani yang juga pemilik Sara Amani Trading berkata, sebagai pe­minjam, dia serta para usahawan kecil lain mahu skim tersebut diteruskan dan jika wujud sebarang isu berbangkit, ia perlu diselesaikan segera Menteri Besar.

“Kami mahu penyelesai­an proaktif yang melegakan para peminjam kerana kami difahamkan kadar bayaran balik juga tinggi iaitu 85 peratus, jadi adalah tidak patut jika wujudnya isu kekeringan dana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×