MANA satu yang betul? Kontrak China Communication Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) batal atau tidak? Rakyat juga tertanya-tanya.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam mengeluarkan kenyataan bahawa kontrak itu batal manakala Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berasa terkejut dan mendakwa Mohamed Azmin mungkin tidak dimaklumkan dengan perkembangan projek terkini kerajaan.
Kedua-dua mereka berada di bawah satu bumbung, tetapi jelas menunjukkan tidak sehaluan atau bercanggah pendapat. Situasi ini menunjukkan mereka gagal untuk berkomunikasi walaupun memegang portfolio yang saling berkaitan antara satu sama lain.
Ada cakap-cakap luar mengatakan Guan Eng yang sebenarnya selalu bercanggah pendapat dengan menteri-menteri kanan dalam Kabinet Pakatan Harapan (PH). Tetapi, sejauh mana kebenarannya? Hanya mereka yang berada dalam PH sahaja yang mengetahui.
Malah, ada yang mendakwa Guan Eng selama menjadi menteri gagal mengasingkan kepentingan politiknya dalam kementerian diterajui iaitu Kementerian Kewangan.
Sebagai contoh, dalam tempoh lapan bulan pemerintahan kerajaan PH, kenyataan-kenyataan Guan Eng mewakili kementeriannya banyak kali menempelak kerajaan terdahulu dan sering kali menjadikan subjek iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai punca kemelut kewangan yang dihadapi kerajaan kini.
Namun, hakikatnya, rakyat tidak mahu mendengar rungutan permasalahan sang menteri mengenai kelemahan kerajaan terdahulu sebaliknya tertanya-tanya mengenai pelan pemulihan atau langkah-langkah yang akan diperkenalkan kerajaan untuk memacu ekonomi negara.
Mencampuradukkan urusan politik dan urusan kerajaan menunjukkan sikap tidak profesionalisme Guan Eng dalam menerajui portfolio kekananan berkenaan.
Umum mengetahui bahawa Guan Eng juga merupakan Setiausaha Agung DAP. Ada apa pula dengan DAP? Sebuah parti cauvinis yang memiliki keahlian majoriti dalam kalangan masyarakat Cina dan memperjuangkan konsep kesamarataan ‘Malaysian Malaysia’.
Baru-baru ini juga, konsep kesamarataan itu kononnya telah diterjemahkan menerusi peruntukan sebanyak RM12 juta kepada sekolah-sekolah menengah persendirian Cina dan juga peruntukan khas untuk kolej swasta, Kolej New Era.
Peruntukan berkenaan turut dipersoalkan sebahagian besar rakyat kerana peruntukan kerajaan diberikan kepada sekolah-sekolah swasta yang dihadiri oleh para pelajar yang sebahagian besar ibu bapa mereka mempunyai kemampuan kewangan.
Selepas ini, apa lagi yang akan dilakukan DAP bagi mempromosikan kesamarataan yang diperjuangkan mereka? Sama-sama kita tunggu.










