Anjur Sukma 4 tahun sekali di peringkat negeri - Utusan Malaysia

Anjur Sukma 4 tahun sekali di peringkat negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI 17 Jan. – Majlis Sukan Negara (MSN) merancang penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) diadakan empat tahun sekali berbanding dua tahun di peringkat negeri selepas Sukma 2020 di Johor.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, perbincangan berhubung perkara itu sedang dijalankan dan jika diluluskan kelak, MSN selaku pemilik Sukma akan turut menjadi penganjur dengan menggunakan kemudahan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Jadi, di antara empat tahun itu yang tengah tu akan dianjurkan MSN sendiri sebagai pemilik Sukma dan kita akan gunakan kemudahan di Bukit Jalil yang telah dinaiktaraf untuk kegunaan Sukan SEA yang lepas.

“Penggiliran penganjuran Sukma antara MSN dan negeri ini adalah satu kaedah yang kita sendiri memberi sokongan penuh dan memberi keadaan yang selesa kepada semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Bengkel Penyelarasan Jawatankuasa Kerja Sukan Malaysia di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar.

Ahmad Shapawi berkata, buat masa ini, perkara itu dalam perbincangan bersama-sama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan akan dimuktamadkan serta keputusan rasmi akan dicapai pada mesyuarat MSN diadakan tidak lama lagi.

“Jadi,ini satu langkah penjimatan di mana bila kita menganjurkan Sukma di venue Bukit Jalil kita tak perlu bina kemudahan baharu dan menggunakan kemudahan sedia ada yang sudah dibaik pulih dan dinaiktaraf,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×