Anih Berhad tamatkan kontrak peniaga gerai nombor 6 di R&R Gambang - Utusan Malaysia

Anih Berhad tamatkan kontrak peniaga gerai nombor 6 di R&R Gambang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Syarikat pemegang konsesi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad menamatkan kontrak pengusaha gerai nombor 6 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gambang di sini yang terlibat insiden membelasah seorang pemandu bas ekspres dalam kejadian 24 Disember lalu.

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd. Radzi ketika sidang akhbar di R&R Gambang arah menuju Kuantan di sini hari ini berkata, penamatan kontrak tersebut berkuat kuasa pada 31 Disember baru-baru ini.

Tambah beliau, keputusan menamatkan dan tidak menawarkan sambungan kontrak berkenaan dibuat pihaknya pada hari yang sama enam lelaki berusia 32 hingga 44 tahun yang terlibat dalam kejadian tersebut dikenakan perintah reman di Mahkamah Majistret Kuantan di sini.

“Pihak kami tidak berkompromi dan bertindak tegas terhadap pengendali gerai yang melakukan salah laku bertentangan dengan kontrak.

“Walaupun ia dianggap kes terpencil, tetapi ia memberi impak besar kepada para peniaga di sini (R&R Gambang). Ia menyebabkan bas ekspres semakin jarang (berkurangan) singgah di sini dan menjejaskan peniaga lain,” katanya.

Semasa kejadian pukul 1.30 pagi pada 24 Disember lalu, seorang pemandu bas dibelasah sekumpulan lelaki di kawasan meletak kenderaan berat di R&R Gambang di sini dan kejadian tersebut turut tular menerusi penyebaran video di laman sosial.

Menurutnya, peniaga yang melanggar prosedur standard operasi (SOP) dengan melakukan salah laku bertentangan kontrak dikehendaki menutup gerai serta-merta bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan dalam tempoh 14 hari.

“Akibat seperti nila setitik rosak susu sebelanga, semua 32 gerai di kedua-dua arah menerima kesan ke atas perniagaan mereka disebabkan perbuatan pengendali gerai terbabit,” tambahnya.

Ujar beliau lagi, pihaknya turut mengadakan perjumpaan bersama syarikat bas Sani Ekspres bagi menjernihkan keadaan disebabkan insiden memalukan tersebut.

“Sehubungan kejadian itu, pihak konsesi juga akan memasang CCTV (televisyen litar tertutup) di 12 hentian R&R sekitar Lebuh Raya Karak-Kuala Lumpur dan LPT-1 termasuk di Genting Sempah, Temerloh dan Gambang pada tahun ini,” katanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN