Angkut pelajar Orang Asli guna helikopter - Utusan Malaysia

Angkut pelajar Orang Asli guna helikopter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Seramai 101 pelajar Orang Asli dari 15 kampung di lima pos pedalaman daerah ini dibawa menaiki helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk ke sekolah bermula hari ini.

Komander Pasukan Khas Unit Udara JBPM Subang, Penguasa Bomba Cik Hamdan Hamzah berkata, sebanyak dua helikopter digunakan untuk mengangkut pelajar yang masih belum memulakan sesi persekolahan kerana terputus perhubungan jalan balak.

Katanya, sebanyak dua helikopeter terlibat dalam operasi Ops Murni ini ialah Agusta Westland (AW) 139 dan Agusta 109 E.

“Seramai 30 anggota kita terlibat dalam operasi mengangkut pelajar terlibat untuk bersekolah di beberapa sekolah menengah di bandar ini.

“Pelajar berkenaan diambil di setiap pos penempatan seperti Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Balar, Pos Gob dan Pos Simpor sebelum helikopter berkenaan mendarat di padang Pusat Sivik di sini,” katanya.

Cik Hamdan berkata, operasi mengangkut pelajar ini ialah tahun keempat sejak bermula tahun 2015.

“Usaha mengeluarkan pelajar itu melibatkan kerjasama beberapa agensi seperi Jakoa, JBPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Kita menganggarkan sebanyak 20 penerbangan dilakukan untuk mengambil pelajar yang terkandas di kampung halaman mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, pelajar berkenaan gagal dibawa keluar sejak hampir sebulan lalu menggunakan kenderaan pacuan empat roda oleh pihak kontraktor yang dilantik Jakoa.

Katanya, operasi mengangkut pelajar terkandas menggunakan helikopter dijangka mengambil masa selama tiga hari.

“Pihak Jakoa akan terus berusaha membawa keluar pelajar Orang Asli kerana tidak mahu mereka terus tercicir dalam persekolahan,” katanya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN