Anggota bomba meninggal lepas tiga hari tidak sedarkan diri - Utusan Malaysia

Anggota bomba meninggal lepas tiga hari tidak sedarkan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH – Seorang anggota bomba meninggal dunia selepas tiga hari tidak sedarkan diri akibat kemalangan jalan raya di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Sentang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi Isnin lalu, Tusiman Basiron, 49, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin, di sini menunggang motosikal jenis Honda Beat untuk pulang ke kampungnya di Felda Jengka 9, Jengka.

Mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah motosikal lain sebaik tiba di tempat kejadian dan dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), di sini untuk menerima rawatan.

Anak mangsa, Muhamad Arif, 23, berkata, arwah bapanya tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke hospital itu akibat pendarahan di kepala sehingga dia menghembuskan nafas terakhir pukul 5.20 petang tadi.

“Saya bersama ibu, Yangmas Awang Khecil, 44, berada di sisi arwah ayah sejak dia menerima rawatan.

“Kami tidak berhenti berdoa agar dia cepat sembuh namun tidak menyangka dia pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya hari ini,” katanya.

Menurutnya, arwah bapanya pulang ke kampung setiap kali cuti untuk berjumpa ibunya serta meninjau kerosakan rumah di tanah rancangan itu.

“Saya kini menggalas tugas sebagai ketua keluarga untuk menjaga mak dan adik bongsu, Norhafizah, 19, yang masih belajar,” ujarnya yang bekerja di kilang sawit.

Tambahnya, jenazah arwah bapanya akan dikebumikan di kampung halamannya selepas solat Isyak malam ini.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba BBP Bukit Angin, Hashnudin Husin memberitahu, Allahyarham Tusiman merupakan seorang anggota yang cekap dan mudah mesra dengan orang lain.

“Kami telah mengadakan solat hajat dan bacaan yasin kelmarin agar arwah cepat sembuh namun Allah lebih sayangkan dia,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya akan menguruskan segala bantuan yang wajar diterima arwah untuk diserahkan kepada keluarganya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×