Anggota bomba maut kemalangan - Utusan Malaysia

Anggota bomba maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI – Seorang anggota bomba bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar maut selepas motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Proton Gen2 di Jalan Desaru-Punggai, Pengerang di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa, Pegawai Bomba Bantuan Mohd. Syafiq Md. Yunos, 23, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dekat sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fadli Ismail berkata, mangsa, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Punggai, Pengerang, selepas selesai bertugas.

“Sejurus menerima laporan pada 8.59 malam, seramai lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar bersama-sama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa yang mengalami patah kaki dan putus pergelangan tangan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada pukul 2.15 pagi tadi,” katanya ketika hubungi di sini hari ini.

Mohd. Fadli berkata, pemandu kereta Proton Gen2 bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN