Anak pukul ibu kerana pengaruh dadah - Utusan Malaysia

Anak pukul ibu kerana pengaruh dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS 28 Jan. – Seorang lelaki tergamak memukul ibu kandungnya di rumah mereka dalam satu kejadian amuk di Permatang Kerai dekat sini dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

Ekoran kejadian itu, mangsa yang berusia 46 tahun mengalami kecederaan bengkak pada pergelangan kaki kanan selepas turut disepak anak lelakinya yang berusia 23 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek yang merupakan anak tunggal itu bagaimanapun berjaya ditahan empat jam selepas kejadian tersebut.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek yang positif dadah hasil ujian air kencing itu turut memecahkan kipas angin dan merosakkan barang-barang di dalam rumah mereka dalam kejadian berkenaan.

“Suspek telah menyepak pergelangan kaki ibunya dan wanita berkenaan yang ketakutan terus keluar dari rumah sebelum membuat laporan polis.

“Polis kemudiannya berjaya menahan lelaki itu yang tidak bekerja di rumah mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati suspek baru sahaja keluar dari Penjara Pulau Pinang pada bulan Disember lalu.

Katanya, lelaki berkenaan juga pernah mendapatkan rawatan psikiatri pada 2016 selain mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

“Ibu suspek telah menerima rawatan di Hospital Kepala Batas dan hasil pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa mengalami bengkak pada pergelangan kaki kanan dan dibenarkan pulang setelah mendapat rawatan,” katanya.

Tambah beliau, lelaki itu di reman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×