PETALING JAYA – Anak lelaki Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah cedera ditikam di perut dalam kejadian cubaan samun di Taman Bukit Mayang Emas di sini hari ini.
Kejadian tersebut berlaku pada pukul 6 petang ketika mangsa sedang berjoging di kawasan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, mangsa menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Setakat ini polis masih belum merakam keterangan daripada mangsa memandangkan dia masih berada di bawah pengaruh ubat.
“Tiada barangan berharga milik mangsa dilarikan dan kita tidak menolak kejadian itu adalah cubaan samun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan samun. – K! ONLINE










