MELAKA 16 Jan. – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Tengah berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang tinggal bersama ibunya bersama sekumpulan lelaki dan wanita yang terlibat dalam kegiatan menghidu gam dan penagihan dadah di sebuah bangunan tinggal di bandar raya ini.

Kesemua lapan lelaki dan dua wanita itu yang berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh JKM Melaka Tengah dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di premis tersebut di Jalan Plaza Mahkota di sini kira-kira pukul 10 pagi.
Ibu kanak-kanak terbabit berusia 32 tahun turut ditahan AADK selepas didapati positif mengambil dadah jenis `methamphetamine’ bersama tujuh daripada 10 yang ditahan dalam serbuan itu.
Penolong Pegawai JKM (Unit Kanak-kanak) Melaka Tengah, Wan Nor Ahniza Hanom Ahmad berkata, kanak-kanak itu merupakan anak kedua wanita tersebut yang diselamatkan hasil perhubungan dengan bekas teman lelakinya.
“Sebelum ini JKM pernah beberapa kali cuba menyelesaikan status perhubungan ibunya dengan teman lelaki termasuk memanggil jurunikah tetapi pasangan itu menghilangkan diri.
“Selain itu pada penghujung Oktober lalu, kita telah menyelamatkan anak bongsunya yang kini berusia empat bulan selepas ditinggalkan di Hospital Melaka, manakala anak sulung berusia lapan tahun dijaga oleh datuknya,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi itu di Jalan Plaza Mahkota di sini sebentar tadi.
Difahamkan tiga anak wanita tersebut adalah hasil perhubungannya dengan individu yang berbeza sejak 2015.
Katanya, kanak-kanak tersebut akan dibawa ke rumah perlindungan dan proses selanjutnya akan dibuat mengikut Akta Kanak-kanak 2001. – UTUSAN ONLINE










