KUALA LUMPUR 5 Jan. – Tidak sampai 24 jam menyamun seorang wanita di Kuchai Avenue di sini, tiga penjenayah dikenali Geng Ainol ditahan di sebuah rumah di kawasan Kuchai Entrepreneurs Park, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Arifai Tarawe berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Brickfields pada pukul 11.30 malam dan menahan seorang lelaki berusia 23 tahun.
“Hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada serbuan kedua di kawasan perumahan sama keesokan harinya pada pukul 1 pagi dan menahan dua lagi ahli kumpulan, masing-masing lelaki berusia 29 dan 31 tahun.
“Selain tangkapan, kami turut merampas tiga telefon bimbit dipercayai hasil samun, dua topi keledar, sepasang kasut dan serangkai anak kunci motosikal Yamaha,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Menurut Arifai, kumpulan tersebut aktif melakukan samun di sekitar daerah Brickfields dan menyasarkan wanita serta lokasi sunyi sebelum menyamun.
Tambahnya, kesemua yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE









