Aksem serbu stor simpanan mercun Tahun Baru Cina - Utusan Malaysia

Aksem serbu stor simpanan mercun Tahun Baru Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT KAYU HITAM – Kegiatan licik penyeludup menjadikan sebuah rumah kampung yang terletak di kawasan terpencil di Padang Satu di sini sebagai stor penyimpanan pelbagai jenis mercun sebelum diedar sempena sambutan Tahun Baru Cina awal bulan depan berjaya dihidu Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 3.30 petang itu, Aksem menemui pelbagai jenis mercun seperti mercun bola dan papan di ruang tamu rumah dan di dalam sebuah kereta jenis Kia Forte yang diletakkan di pekarangan luar rumah tersebut.

Komander Aksem Kedah, Abd. Latif Abdul Rahman berkata, tiada tangkapan dilakukan kerana penyeludup yang dipercayai merupakan penduduk tempatan telah melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota Aksem.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah menemui sebahagian mercun di ruang tamu sebelum mendapati ada sebuah kereta diletakkan di pekarangan luar rumah dalam keadaan berkunci.

“Anggota menunggu selama setengah jam dan mendapati tiada individu yang tampil mengaku sebagai pemilik kereta tersebut. Kita kemudian bertindak memecahkan cermin untuk membuat pemeriksaan sebelum menemui sejumlah mercun di bahagian penumpang belakang dan tempat simpanan belakang,” katanya kepada pemberita di Kompleks Aksem di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya percaya penyeludup menjadikan rumah tersebut sebagai stor pengumpulan mercun yang dipercayai diseludup dari Thailand sedikit demi sedikit bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Mercun-mercun ini kemudian akan diambil oleh pihak lain untuk diedarkan ke lokasi tertentu,” ujarnya sambil memberitahu harga mercun di negara ini akan meningkat dua kali ganda atau lebih berbanding di negara jiran.

Tambahnya, nilai rampasan mercun adalah sebanyak RM60,000 dan kes dirujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×