PADANG BESAR – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) menahan seorang lelaki dan merampas 604 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM30,200 selepas menyerbu sebuah stor di Kampung Padang Mawa, Kok Mak di sini semalam.
Komander Aksem Perlis, Deputi Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, bertindak atas maklumat awam berkaitan kegiatan penyeludupan daun ketum, pihaknya melakukan serbuan ke atas sebuah stor di belakang sebuah rumah tidak bernombor di kampung tersebut kira-kira pukul 7.30 malam.
“Setibanya di tempat kejadian, terdapat seorang lelaki di dalam stor dan pemeriksaan lanjut menemui 10 guni putih dan 25 bungkusan plastik hitam disyaki berisi daun ketum.
“Lelaki terbabit yang berusia 38 tahun mengaku sebagai pemilik barangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, lelaki dan ketum berkenaan kemudian dibawa ke Kompleks Aksem Padang Besar untuk tindakan lanjut.
“Kes diserahkan kepada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” ujarnya.- K! ONLINE










