JITRA – Ahli keluarga kepada kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Norwahidah Abdul Hamid, 28, menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kematian mangsa yang telah diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Bapa mangsa, Abdul Hamid Yunus, 57, berkata, dia tidak mahu mengulas mengenai kejadian menimpa anak sulungnya itu kerana ia masih dalam siasatan polis.
“Saya tidak ada apa yang nak ulas kerana belum berjumpa dengan pegawai penyiasat selain tidak mendapat maklumat yang tepat berhubung kes.
“Disebabkan itu saya tidak akan beri sebarang komen berhubung kes tersebut berdasarkan kepada status atau maklumat lain yang ada,” katanya ketika ditemui selepas upacara pengebumian Norwahidah di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najah, Ayer Hitam dekat sini hari ini.
Jenazah Norwahidah selesai dikebumikan di tanah perkuburan tersebut kira-kira pukul 10 pagi ini.
Katanya, upacara pengebumian anak perempuannya itu berjalan lancar dengan bantuan kariah masjid berkenaan.
Ibu mangsa, Zaiton Ismail, 57, ketika ditemui enggan ditemubual.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN Kedah, Hartini Mohamad menyerahkan sijil kematian Norwahidah kepada bapa Allahyarham, Abdul Hamid sejurus selesai upacara pengebumian.
Kosmo! Online semalam melaporkan kematian sepasang pengantin baharu Wan Baharul Nizam Wan Bakar, 35, dan Norwahidah yang maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang Isnin lalu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, hasil laporan awal bedah siasat terhadap mayat Norwahidah mendapati ada unsur jenayah apabila terdapat kesan kecederaan akibat hentakan benda keras di kepalanya. – K! ONLINE










