SHAH ALAM 11 Jan. – Selangor akan menyaksikan pilihan raya kecil keempat dalam tempoh lapan bulan selepas pilihan raya umum Mei tahun lalu apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Mohd. Bakhtiar Mohd. Noor meninggal awal pagi ini akibat serangan jantung.
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.45 pagi ini di Hospital Kajang.
Katanya, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Tekala, Semenyih, dan akan disembahyangkan selepas solat Jumaat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.
“Ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd. Bakhtiar Mohd. Nor. Saya berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah swt dan ditempatkan di kalangan golongan yang soleh. Al-Fatihah,” katanya.










