PASIR GUDANG 27 Jan. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh hari ini menafikan Tadika Kemas Taman Scientex di sini ditutup sekali gus mengakibatkan 60 muridnya tidak dapat belajar.
Menurut beliau, perkara tersebut tidak benar dan diputarbelitkan pihak tertentu dengan menyebarkan cerita fitnah hingga menjadi viral dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Apa yang sebenarnya ialah pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) menukar kunci mangga pintu depan untuk tujuan keselamatan kira-kira pukul 11 pagi pada 23 Januari lalu.
“Pertukaran kunci mangga itu tidak melibatkan kanak-kanak yang sedang belajar dan mereka menghabiskan masa belajar hingga tamat waktu sekolah pada tengah hari tanpa diganggu.
“Mereka langsung tidak diarahkan keluar sebaliknya belajar dan pulang seperti biasa pada hari itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat di Pusat Khidmat
Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas di Taman Dahlia di sini sebentar tadi.
Isu berkenaan penutupan sekolah tadika kemas itu menjadi tular dalam media sosial hingga mengakibatkan kemarahan warganet yang mendakwa MPPG kejam dan tidak berhati perut.
Selain itu turut ditularkan gambar sekumpulan kanak-kanak duduk di gelanggang permainan sambil mengulang kaji pelajaran pada malam hari dikaitkan dengan isu tadika kemas tersebut.
Che Zakaria menjelaskan, gambar sekumpulan kanak-kanak yang ditularkan itu tidak ada kena mengena dengan murid tadika tersebut kerana mereka merupakan murid sekolah rendah yang menjalani kelas tuisyen di sebelah bangunan tadika kemas itu.
“Saya diberitahu, pada pukul 8.45 minit malam, murid sekolah rendah itu diarahkan keluar dari dalam balai komuniti tempat mereka tuisyen kononnya bangunan itu mahu digunakan.
“Selepas itu ada pihak mengambil kesempatan mengambil gambar mereka berada di gelanggang dan kemudian ahli MPPG yang menyedari perkara itu menyuruh mereka masuk semula ke dalam balai komuniti selepas 15 minit berada di luar,” katanya.
Katanya, perkara tersebut sudah dirancang pihak yang berniat jahat sebelum ditularkan dalam media sosial dengan mengatakan tadika kemas berkenaan ditutup dan pelajar tuisyen itu pula kononnya terpaksa belajar di gelanggang permainan. – UTUSAN ONLINE










