PUTRAJAYA – Kenaikan harga makanan dan minuman di premis makanan termasuk restoran dan medan selera mendominasi kira-kira 4,000 aduan yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dua aduan pengguna tertinggi lain yang diterima termasuklah dalam kategori penipuan urus niaga online dan iklan palsu atau mengelirukan.
“Sebanyak 50 peratus daripada aduan kenaikan harga adalah kenaikan harga makanan dan minuman di premis makanan yang diterima menerusi lapan saluran aduan termasuk saluran baharu aplikasi Whatsapp.
“Itu yang mendominasi sejumlah besar aduan tentang kenaikan harga makanan dan yang sampai dalam Whatsapp juga satu dua aduan kenaikan harga makanan di kantin sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Nota Serah Terima Tugas Ketua Setiausaha KPDNHEP di sini hari ini.
Pada majlis itu, Datuk Muez Abd. Aziz menerima nota serah tugas daripada Datuk Seri Jamil Salleh yang bersara wajib 7 Januari lalu selepas berkhidmat lebih 35 tahun dalam perkhidmatan awam.
Sementara itu, ketika ditanya tentang dakwaan harga makanan yang dijual mahal di kantin sekolah, Saifuddin berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) yang bertanggungjawab menguruskan proses tender kantin sekolah.
“Kalau ada aduan sampai ke KPDNHEP, sudah tentu pihak kami akan berhubung dengan KPM dan jika di aduan itu sah, barulah kita boleh mengesyorkan apa-apa langkah sewajarnya untuk diambil,” katanya. – K! ONLINE










