SHAH ALAM 6 Jan – Penganjuran acara riadah kekeluargaan berjaya mencapai matlamat mengeratkan silaturrahim sesama kariah dan jiran tetangga, yang wajar dijadikan acara tahunan, kata Pengerusi Surau Platinum al-Mawaddah Seksyen 7, Dr. Fairooz Fathillah.
Selain itu ujar beliau, program tersebut juga adalah satu cara menarik golongan remaja untuk mendekati surau dan masjid, yang bukan sekadar mengadakan acara keagamaan tetapi juga sukan serta riadah yang menyeronokkan dan menyihatkan tubuh badan.
“Objektif utama kita mengadakan program hari keluarga dan sukaneka adalah bagi merapatkan ukhwah antara jemaah Mawaddah dan mengamalkan aktiviti sihat dalam kalangan kariah.
“Program ini adalah julung kalinya diadakan, berbanding program lazim seperti gotong-royong majlis korban Aidil Adha, misi-misi bantuan kemanusiaan dan sebagainya,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Fairooz berkata, penganjuran julung kali acara hari keluarga dan sukaneka pada 29 dan 30 Disember lalu, dianggap berjaya dengan penyertaan hampir 500 orang kariah dan juga jiran tetangga dalam acara dua hari itu.










