KARIKATUR Wak Ketok yang lahir serentak bersama edisi pertama akhbar Utusan Zaman terbitan 5 November 1939 begitu popular dalam kalangan pembaca akhbar terbitan Utusan era 1930-an dan 1940-an di Singapura dan Malaya.
Halaman Khas Yang Berhormat Mulia Ana Wak Ketok bertarikh 3 Disember 1939 itu dimulakan dengan kata-kata “Perkatakanlah yang benar walaupun atas dirimu”.
Pengenalan watak Wak Ketok yang tersiar dalam halaman tujuh, Utusan Zaman dengan kata-kata: “Hidung mancung kangkangnya bidang, Wak Ketok mengenalkan dirinya kepada sekelian alam”.
Siapa Wak Ketok?
Sejak diperkenalkan kepada pembaca Utusan Zaman, pojok Wak Ketok mendapat sambutan hangat dalam kalangan pembaca dan menjadi popular dalam sekelip mata.
Pembaca sebenarnya terhibur dengan pelbagai sindiran dan karikatur yang menyentuh pelbagai isu semasa seperti politik, sosial dan kehidupan masyarakat era 1930-an dan 1940-an. Namun tiada siapa yang tahu siapakah sebenarnya watak di sebalik nama Wak Ketok itu?
A. Samad Ismail dalam bukunya Memoir A. Samad Ismail di Singapura (1993) menulis bahawa Ali Sanat adalah pencipta sebenar nama dan watak Wak Ketok namun begitu yang menghidupkan watak tersebut adalah Pengarang Utusan Melayu ketika itu, Abdul Rahim Kajai.
“Wak Ketok sebenarnya ciptaan Ali Sanat. Dia yang memberikan nama karakter itu. Wak Ketok melambangkan karakter seorang Jawa” (A. Samad Ismail 1993:75).
A. Samad Ismail seterusnya menyatakan: “Wak Ketok berpakaian orang Jawa dengan belangkonnya, kopiah Jawa, selipar dan kainnya.
“Tetapi kerana Ali Sanat sekadar melukis sahaja karakter itu dalam berbagai-bagai gaya dan aksi sedangkan yang menghidupkan karakter itu ialah Kajai, maka pembaca menganggap Wak Ketok adalah ciptaan Kajai sebenarnya” (A.Samad Ismail 1993).

Kajai dalang Wak Ketok
Menurut Samad lagi, Ali Sanat diarah Abdul Rahim Kajai melukis karakter tersebut dalam pelbagai gaya dan aksi manakala beliau akan menempatkan watak Wak Ketok dalam berbagai-bagai situasi, menjiwai dan berlagak, membuat komen dan sindiran-sindiran terhadap isu-isu semasa.
“Bukan Ali Sanat yang mendalangi Wak Ketok tetapi Kajai. Ia menjadi ciptaan Kajai, suara Kajai,” tulis A. Samad Ismail lagi.
Sindiran tajam Abdul Rahim Kajai terserlah melalui Wak Ketok apabila beliau menghentam golongan Arab yang selama ini menganggap mereka yang memakai gelaran Syed atau Sheikh adalah lebih mulia kerana berketurunan Nabi Muhammad.
“Apa engkau fikir Sheikh-Sheikh sahajakah yang boleh pakai Yang Mulia? Aku pakai Yang Mulia kepada aku bukannya kepada engkau, orang apa peduli?” sindir Wak Ketok dalam pojok terbitan 12 November 1939 yang bertajuk Kalau hati busuk, busuk juga lukisan ajaib – daripada Yang Mulia Wak Ketok.
“Hidung mancung kangkangnya bidang, Wak Ketok mengenalkan dirinya kepada sekelian alam”.
Sidang pembaca silalah pandang
Gambar aku sudah terhidang
Hidung mancung kangkangnya bidang
Tanda berani di tengah padang
Wak Ketok nama tersebut
Misainya kasar umpama sabut
Tetapi jarang bagai diraut
Tanda Panglima alah bercabut
Berkain batik duduk bertaki
Tangan memegang payung sekaki
Corak dastarnya dilamun daki
Itulah tanda anak lelaki
Memakai capal bersilang empat
Tanda Panglima boleh melompat
Banyaklah gadis sudah mengumpat
Sebab cantiknya payah didapat.
Wak Ketok maknanya dalam
Bukan terang bukanlah kelam
Bukan pucuk bukanlah ulam
Bukanlah sambal di tepi talam.









