6 tahun tunggu pampasan Perkeso RM140,000 - Utusan Malaysia

6 tahun tunggu pampasan Perkeso RM140,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU 15 Jan. – Le­bih enam tahun lalu, Habesah Daud, 47, serta anak-anak tentunya meratapi kematian suami tersayang, Ismail Mat Yassin akibat kanser darah yang dihidapi.

Namun tiada siapa tahu pada hari ini, pengusaha kantin yang juga ibu kepada empat anak itu mendapat durian runtuh daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berupa tunggakan faedah caruman yang dibuat suaminya berjumlah le­bih RM140,000.

Rupanya Habesah baru ming­gu lalu menyedari arwah suaminya itu layak menerima fa­edah itu selain pencen penakat RM1,800 sebulan seumur hidup manakala dua anaknya yang berumur 18 dan 15 tahun bakal menikmatinya sehingga tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda kelak.

“Saya baru sedar boleh tuntut faedah caruman suami dua minggu lalu ketika anak saya daftar dengan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan pada masa itu, seorang pegawai bertugas minta anak saya semak dengan Perkeso mengenai faedah pencen penakat arwah suami.

“Setelah dirujuk dan dimaklumkan Perkeso, saya sungguh terkejut dan bersyukur kerana layak dapat pencen itu dan juga faedah caruman yang tertunggak lebih enam tahun berjumlah lebih RM140,000,” katanya

Beliau menyatakan perkara itu selepas menerima cek bayaran tunggakan faedah pencen penakat daripada Timbalan Pe­ngarah Perkeso Terengganu, Norihan Ibrahim di kediaman­nya di Kampung Lubuk Batu, Ajil dekat sini baru-baru ini.

Menurut Habesah, sebelum meninggal dunia, suaminya itu bekerja sebagai seorang penyelia di sebuah kilang di Semabok, Kuantan, Pahang.

“Insya-Allah, saya akan gunakan bayaran faedah pencen penakat ini untuk keperluan anak-anak terutama dua yang masih bersekolah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Norihan me­narik perhatian, skuad priha­tin Perkeso sentiasa memberi perkhidmatan terbaik kepada pencarumnya di seluruh negara dan pewaris boleh merujuk kepada skuad berkenaan serta pejabat Perkeso terdekat untuk tindakan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×