PETALING JAYA – Sebanyak 523 saman berkaitan trafik yang melibatkan pelajar sekolah menengah telah dikeluarkan oleh pihak polis menerusi Op Didik yang dijalankan sepanjang tahun 2018 di sekitar Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asistan Komisioner Polis Mohd. Zani Che Din berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2017 iaitu hanya 328 saman yang dikeluarkan dengan kesalahan sama.
Menurutnya, bagi kesalahan saman berkaitan lesen memandu sebanyak 130 saman telah dikeluarkan terhadap pelajar tingkatan satu hingga tiga manakala 147 saman pula bagi pelajar tingkatan empat dan lima.
“Bagi kesalahan topi keledar pula sebanyak 197 saman telah dikeluarkan bagi tahun 2018 berbanding 173 untuk tahun sebelumnya.
“Sementara itu, bagi kesalahan nombor pendaftaran pula sebanyak 49 saman dikeluarkan berbanding hanya 15 saman bagi tahun 2017,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya lagi, bagi kesalahan berkaitan ubah suai pula tiada saman yang dicatatkan berbanding tahun 2017 dengan lima saman yang dikeluarkan.
Jelasnya, bagi ibu bapa pula, saman yang dikeluarkan adalah sebanyak 157 untuk tahun 2018.
Beliau berkata demikian pada Program Back To School di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tunku Jalan SS1/11, Kampung Tun Ku, di sini hari ini.
Turut hadir Guru Besar SK Kampung Tunku, Khairul Anuar Abdul Azid.
Dalam pada itu, Mohd. Zani memberitahu pihaknya turut menempatkan seramai dua orang Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di setiap sekolah bagi mengawal dan membantu pihak sekolah mengatasi sebarang masalah jenayah di sekolah.
“Sehingga kini, sebanyak 170 PPS telah ditempatkan di 85 buah sekolah di sekitar kawasan ini.
“Mereka akan mengadakan lawatan dan pemeriksaan sekurang-kurangnya dua minggu sekali serta melakukan aktiviti pencegahan jenayah kepada pelajar,” ujarnya. – K! ONLINE










