MELAKA – Keghairahan lebih 500 pengunjung berpesta liar di sebuah taman tema air di negeri ini sempena menyambut tahun baharu terhenti selepas diserbu pihak berkuasa dalam operasi bersepadu diketuai Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di sini awal pagi tadi.
Dalam operasi selama tiga jam yang berakhir pukul 3 pagi itu, seramai 22 individu termasuk seorang remaja perempuan 15 tahun turut ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas disyaki mengambil dadah.
Yang Dipertua MPHTJ, Mahani Masban berkata, pihaknya mendapati penganjur mempunyai permit daripada pihak berwajib namun telah menyalahgunakannya dengan membenarkan minuman keras dan beroperasi lebih daripada waktu dibenarkan.
“Difahamkan lebih 500 pengunjung telah berkumpul di taman tema air ini seawal pukul 6 petang dan acara itu sepatutnya berakhir pada pukul 12 tengah malam.
“Bagaimanapun, parti air itu masih berlangsung dengan pelbagai aktiviti tidak bermoral ketika serbuan dibuat pada pukul 12.20 tengah malam, malah seramai 22 individu berusia antara 15 hingga 25 tahun turut ditahan AADK atas kesalahan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Merdeka di sini.

Mengulas lanjut, Mahani berkata, pihaknya akan memanggil penganjur parti berkenaan untuk siasatan lanjut berkenaan pelanggaran syarat permit.
Katanya, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengeluarkan surat Perintah Hadir mengikut Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah negeri Melaka 1991 kepada 10 gadis di pesta itu kerana berpakaian tidak sopan.
Sementara itu, Mahani berkata, dalam serbuan di tiga lokasi lain, MPHTJ turut mengeluarkan 10 kompaun melibatkan kesalahan lesen perniagaan tamat tempoh, langgar syarat lesen dan premis kotor. – K! ONLINE










