MELAKA 28 Jan. – Sebanyak 50 kakitangan dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghadiri kursus Bengkel Mobile Journalism dan Asas Fotografi Sibermedia yang diadakan di Akademi Latihan Pengangkutan Jalan Malaysia di Tiang Dua di sini bermula hari ini.
Bengkel selama dua hari itu dianjurkan Sibermedia Sdn. Bhd., anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad dengan kerjasama JPJ melibatkan pegawai bahagian perhubungan awam agensi itu dari seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Pengarah Eksekutif Sibermedia Sdn. Bhd., Ainol Amriz Ismail berkata, bengkel itu dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada peserta tentang teknik asas rakaman foto dan video menggunakan peralatan terkini khususnya telefon bimbit.
“Pihak kami berhasrat untuk berkongsi pengalaman dengan semua agensi termasuk kerajaan dan swasta untuk memastikan mereka mahir menggunakan teknologi aplikasi sibermedia terkini.
“Sebelum ini, Sibermedia Sdn. Bhd. telah mengadakan beberapa siri taklimat dengan beberapa agensi kerajaan dan swasta khususnya bahagian korporat syarikat serta institusi pengajian tinggi di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pada program itu di sini sebentar tadi.
Sepanjang dua hari bengkel itu, peserta diberi taklimat yang disampaikan oleh Penolong Pengurus Latihan Sibermedia Sdn. Bhd., Mohd. Hazli Hassan dan Editor Foto Utusan Melayu (M) Berhad, Aswad Yahya.
Turut memberikan taklimat sepanjang sesi itu ialah Penolong Editor Foto, Mohamad Naim Firdaus Abdul Aziz; Penolong Ketua Jurufoto, Shahril Azman Mohd. Zain dan jurufoto, Abdul Razak Abdul Latif. – UTUSAN ONLINE










