41 pelajar berjaya diangkut guna helikopter  - Utusan Malaysia

41 pelajar berjaya diangkut guna helikopter 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengangkut keluar seramai 41 daripada 101 pelajar Orang Asli untuk ke sekolah pada hari pertama Ops Murni, semalam.

Komander Pasukan Khas Unit Udara JBPM Subang, Penguasa Bomba Cik Hamdan Hamzah berkata, sebanyak enam penerbangan telah dilakukan untuk mengeluarkan pelajar yang tinggal di tujuh buah kampung.

Katanya, selain itu dua penerbangan Medical Evacuation (Medevac) turut dilakukan untuk mengambil penduduk Orang Asli yang sakit.

“Kita berjaya mengambil pelajar yang tinggal di Kampung Simpor, Kampung Rekom, Kampung Sau, Kampung Gob, Kampung Bihai, Kampung Belatim dan Kampung Lalok.

“Selain itu kita turut mengambil pesakit iaitu Rejek Asot, 30, dari Kampung Sau, Pos Bihai yang pengsan akibat penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.

“Seorang lagi bayi lelaki, Kal Ondika Jerie, 2, dari Kampung Manjul, Pos Balar yang mengalami demam panas turut menaiki helikopter untuk ke Hospital Gua Musang bersama ibunya,” katanya di sini hari ini.

Cik Hamdan berkata, jumlah itu menjadikan baki 60 lagi pelajar terkandas di kawasan perkampungan Orang Asli dan operasi akan diteruskan hari ini.

Katanya, dua helikopter yang digunakan iaitu Agusta Westland 139 dan Agusta 109 E berjaya menamatkan operasi pada pukul 5.45 petang semalam.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Sekolah Orang Asli Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Azman Jaafar berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat kebajikan dan kehadiran pelajar Orang Asli yang tinggal di pedalaman untuk ke sekolah.

Katanya, JPN komited untuk memastikan keciciran dalam kalangan pelajar Orang Asli tidak terus berlaku.

“Gua Musang adalah kawasan yang paling ramai pelajar Orang Asli dan dari setahun ke setahun kita telah melaksanakan banyak inisiatif untuk memastikan kehadiran pelajar ke sekolah sentiasa meningkat,” katanya. – K! ONLINE 

Pesakit Orang Asli, Rejek Asot, yang pengsan menaiki penerbangan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba
Pesakit Orang Asli, Rejek Asot, yang pengsan menaiki penerbangan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk ke Hospital Gua Musang, Kelantan, semalam.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN