KUALA LUMPUR 6 Jan. – Tiga remaja bawah umur antara empat yang ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya dengan mempamerkan aksi ‘Superman’ dalam Op Samseng Jalanan di Lebuh Raya Duta Ulu Kelang (DUKE), di sini awal pagi tadi.
Kesemua mereka yang berusia antara 16 dan 30 tahun ditahan selepas didapati tidak mempunyai lesen memandu sah selain menunggang motosikal yang telah diubah suai.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, operasi berkenaan bermula 1.30 pagi tadi diketuai Asisten Superintenden Fuad Mahmod bersama anggota unit risikan.
“Hasil siasatan, dua daripada mereka tidak bersekolah manakala seorang lagi masih bersekolah. Lelaki berusia 30 tahun itu pula telah berkahwin.
“Selain tidak mempunyai lesen memandu dan motosikal yang diubah suai dari segi enjin dan tayar, kita dapati mereka menggunakan plat kenderaan pelbagai (fancy),” katanya, di sini hari ini.
Zulkifli memberitahu, kesemua yang ditahan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara bahaya. – UTUSAN ONLINE










