BRASILIA 27 Jan. – “Bagaimana saya boleh tenang jika dia (suami) ada di sana.”
Demikian jerit seorang wanita, Suely de Olivera Costa ketika cuba ‘merempuh’ pengawal keselamatan untuk mencari suaminya yang masih belum ditemukan selepas empangan runtuh di sebuah lombong bijih besi milik syarikat Vale SA di tenggara negara ini kelmarin.
Menurut wanita itu, suaminya bekerja di lombong bijih tersebut.
Malah Suely menarik perhatian media apabila menceritakan tentang satu lagi bencana empangan yang dahsyat tiga tahun lalu di sebuah lombong di tempat lain yang diusahakan bersama oleh Vale.
Dia menuduh syarikat itu ‘kini memusnahkan Brumadinho dan tiada tindakan sewajarnya diambil serta mungkin ‘mengancam bandar-bandar lain pula selepas ini’.
Sekurang-kurangnya 34 mayat ditemukan dengan ratusan lagi masih hilang.
Berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh Vale, kira-kira 250 masih hilang dan kebanyakan mangsa merupakan pekerja serta kontraktor syarikat berkenaan.
Pasukan bomba kini menumpukan usaha mencari lebih banyak mangsa terselamat yang terperangkap dalam bas, kereta api serta kediaman berhampiran selepas limpahan lumpur deras meranapkan kawasan sekitar.
Gabenor Minas Gerais, Romeu Zema berkata, peluang hidup mangsa-mangsa yang hilang semakin tipis dan pihak berkuasa berkemungkinan menemukan lebih banyak mayat selepas ini.
Mahkamah juga membekukan aset Vale bernilai AS$1.6 bilion (RM6.6 bilion) untuk tujuan pembayaran ganti rugi manakala agensi alam sekitar, Ibama menyaman syarikat tersebut sebanyak AS$66.3 juta (RM273 juta) kerana pencabulan penyeliaan dan agensi alam sekitar kebangsaan turut menyaman Vale.
Dalam pada itu, seorang pekerja perkhidmatan kereta api, William Guilherme Silva berkata, dia sendiri gagal mengesan ‘enam atau tujuh orang yang dikenalinya, termasuk beberapa orang yang sangat rapat’ susulan tragedi itu.
“Empangan itu tidak digunakan pada 2015 dan kekal dalam penyelenggaraan. Mereka tidak melakukan apa-apa, dan runtuh,” katanya yang melahirkan rasa marah terhadap syarikat tersebut. – REUTERS/AFP










