ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) mengeluarkan 31 notis amaran dalam pemeriksaan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2008 yang berkuat kuasa semalam.
Pengarahnya, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, daripada jumlah itu, 29 notis dikenakan terhadap pemilik premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok mengikut Peraturan 12(a) dan dua notis dikeluarkan mengikut Peraturan 11(1)(d) iaitu kesalahan merokok dalam kawasan larangan merokok.
“Seramai 53 pegawai penguat kuasa dari 11 daerah terlibat dalam pemeriksaan yang melibatkan 164 premis makanan termasuk restoran, gerai makanan dan penjaja, namun masih ada yang gagal mematuhi larangan tersebut untuk kita beri notis,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, selain itu seramai 471 orang awam telah diberi pendidikan secara bersemuka dan 799 risalah mengenai pewartaan larangan merokok di dalam premis makanan turut diedarkan.
“Pada November lalu kita telah memberikan taklimat berkaitan pewartaan larangan merokok itu kepada 2,440 pengusaha premis supaya mereka dapat memahami dan mematuhi peraturan berkenaan dan ia akan dilakukan secara berterusan,” ujarnya. – Bernama










