ALOR SETAR 2 Jan. – Sebanyak 31 notis amaran telah dikeluarkan dalam pemantauan dan penguatkuasaan melalui pendidikan Jabatan Kesihatan negeri ke arah pematuhan larangan merokok di tempat makan di seluruh negeri ini, sejak semalam.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 29 kes kerana pemilik premis gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan bakinya, kesalahan merokok dalam kawasan larangan.
Katanya, sebanyak 164 buah premis makanan termasuk restoran, gerai makan dan penjaja telah dijalankan penguatkuasaan oleh seramai 53 orang penguat kuasa dari 11 buah daerah.
“Sebanyak 799 helaian risalah telah diedarkan kepada orang ramai mengenai pewartaan ini. Seramai 471 orang awam juga telah diberi pendidikan secara bersemuka dalam premis semasa lawatan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kementerian Kesihatan telah mewartakan semua tempat makan, sama ada berhawa dingin atau tidak sebagai Kawasan Larangan Merokok di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, Akta Makanan 1983 berkuatkuasa pada 1 Januari 2019. – UTUSAN ONLINE










