3 maut sejak awal tahun, denggi di P. Pinang membimbangkan - Utusan Malaysia

3 maut sejak awal tahun, denggi di P. Pinang membimbangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 28 Jan. – Wabak denggi di negeri ini disifatkan pada tahap membimbangkan selepas tiga kes kematian dilaporkan bulan ini berbanding tiada kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Afif Bahardin berkata, orang ramai perlu memandang serius wabak berkenaan dan mengambil langkah pencegahan dengan berkesan.

“Orang ramai perlu mengambil langkah-langkah penjagaan untuk membasmi nyamuk aedes daripada membiak dan menyebabkan penularan  demam denggi.

“Kerajaan negeri dengan bantuan Jabatan Kesihatan negeri sentiasa membuat pemantauan terhadap penularan demam denggi, tetapi usaha ini harus juga disokong oleh komuniti dengan melakukan pembersihan di kawasan rumah sendiri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, orang ramai juga disaran menggunakan aplikasi telefon bimbit iaitu ‘Predict and Beat Dengue App’ yang memberi amaran apabila melalui kawasan panad denggi.

“Pengguna juga boleh melaporkan masalah jika terdapat kes denggi atau kawasan yang mempunyai wabak denggi di kawasan tersebut,” katanya.

Tambah Afif, aplikasi itu juga berupaya memberikan maklumat terkini dan keadaan semasa kes-kes denggi berdasarkan laporan statistik kes denggi di negeri ini.

“Saya ingin menyeru kepada semua untuk memuat turun aplikasi ini dalam usaha untuk membasmi penularan penyakit ini. 

“Pemeriksaan berterusan di rumah dan kawasan sekitar masing-masing mesti dilakukan bagi mengenal pasti dan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×