ALOR SETAR 23 Jan. – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memperkenalkan konsep pengajian baharu bagi melahirkan lebih ramai juruterbang tentera yang bertauliah menerusi Program 2u2i hasil kerjasama dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, program itu akan menyaksikan calon pegawai kadet juruterbang hanya mengambil masa empat tahun untuk melengkapkan pengajian mereka di UPNM dan di Kolej Tentera Udara (KTU) berbanding hampir enam tahun sebelum ini.
Menurutnya, 2u2i yang bermaksud dua tahun pengajian akademik di UPNM dan dua tahun lagi untuk latihan industri di KTU akan melibatkan seramai 23 calon juruterbang bagi kumpulan penuntut pertama.
“Mereka adalah penuntut yang memulakan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Penerbangan di UPNM bagi fasa 2u sejak September tahun lalu dan dijangka melengkapkan pengajian masing-masing termasuk fasa 2i di KTU pada Oktober 2022.
“Pengenalan Program 2u2i memberi manfaat besar kepada TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana menjimatkan kos, namun kami tidak akan berkompromi terhadap standard serta piawaian pengajian di universiti,” katanya selepas menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan UPNM di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal yang turut mewakili universiti itu bagi sesi menandatangani MoA tersebut.
Tambah Affendi, faktor utama memperkenalkan konsep pengajian itu adalah untuk menjimatkan masa dalam menganugerahkan sayap penerbangan kepada setiap pegawai ATM pada usia lebih muda iaitu 23 tahun, berbanding purata usia 26 tahun sebelum ini.
“Ini kerana jika mengikut secara konvensional sebelum ini setiap mereka perlu menamatkan pengajian di UPNM atau universiti awam lain selama empat tahun terlebih dahulu sebelum dipilih mengikuti latihan penerbangan di KTU yang mungkin akan mengambil masa sehingga dua tahun lagi,” ujarnya.
Kata beliau lagi, pihaknya menetapkan sasaran untuk mengambil seramai 40 penuntut pada setiap pengambilan selepas ini bagi memenuhi keperluan juruterbang dalam ketiga-tiga cabang ATM serta agensi lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Dalam perkembangan lain, Affendi memaklumkan, TUDM akan menampilkan kelainan pada aksi pembukaan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19) bagi segmen pertunjukan udara melalui penampilan jet pejuang Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet miliknya pada Mac ini.
“Namun, apakah kelainan yang menjanjikan keistimewaan pada LIMA 19 kali ini perlu sama-sama kita nantikan ketika persembahan ‘opening gambit’ kelak pada 26 Mac ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE










