297 premis makanan diberi amaran tiada tanda larangan merokok - Utusan Malaysia

297 premis makanan diberi amaran tiada tanda larangan merokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Sebanyak 297 notis amaran dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan kepada pemilik premis makanan di negeri ini sejak Selasa lalu kerana masih gagal mempamerkan tanda larangan merokok.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, semua premis makanan perlu mematuhi larangan merokok di tempat makan seperti yang ditetapkan kerajaan.

Kata beliau, sebanyak 31 notis amaran dibawah Peraturan 12(1)(b) turut dikeluarkan kepada pemilik premis makanan kerana masih menyediakan bekas abu rokok serta membenarkan pelanggan merokok.

“Mereka perlu mempamerkan tanda larangan merokok di tempat yang mudah dilihat. Pemilik tempat makan yang gagal mempamerkan tanda larangan itu boleh dikenakan kompaun RM250.

“Jika gagal bayar boleh didakwa di mahkamah dengan denda maksimum RM3,000 atau enam bulan penjara,” katanya selepas melakukan tinjauan Larangan Merokok di Medan Selera Penghulu Cantik dekat sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan awam) Negeri Sembilan, Dr. Ahamad Jusuh.

Veerapan berkata, sebanyak 70 notis amaran juga telah dikeluarkan bagi kesalahan Peraturan 11 (1) (d) keatas orang ramai di negeri ini kerana merokok di premis makanan sejak Selasa lalu.
.
“Kita harap pemilik premis dan orang ramai yang bukan perokok menegur perokok bagi melindungi hak mereka menghirup udara bersih,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×