24 jam masa diambil untuk naikkan SUV - Utusan Malaysia

24 jam masa diambil untuk naikkan SUV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 22 Jan. – Usaha menaikkan kenderaan SUV Mazda CX-5 yang terjunam di dasar laut Jambatan Pulau Pinang mengambil masa lebih 24 jam disebabkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) perlu mengambil kira soal keselamatan penyelam.

Koordinator SAR, Laksamana Maritim Rozali Mohd. Said berkata, ini berikutan keadaan arus di bawah laut yang deras selain penglihatan penyelam yang hampir sifar yang menyukarkan usaha mendekati kenderaan tersebut.

Menurut beliau, penyelam juga perlu memikirkan soal keselamatan penyelam yang berdepan risiko tercedera akibat keadaan kenderaan SUV itu yang rosak teruk akibat kemalangan.

“Selain itu, setiap penyelam juga tidak boleh menyelam lebih 20 minit kerana keadaan di bawah laut yang berisiko menyebabkan usaha memasang tali pada SUV tersebut memakan masa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selepas hampir tiga hari terjunam ke dalam laut, SUV yang dipandu penuntut kolej swasta, Muey Yun Peng, 20, berjaya dinaikkan kira-kira pukul 5.50 petang ini menggunakan kren dengan mengambil masa kira-kira 20 minit.

Lokasi SUV itu dikesan pada pukul 4 petang semalam pada jarak kira-kira 15 meter daripada tempatnya tercampak dari atas Jambatan Pulau Pinang pada kedalaman kira-kira 15 meter.

Sementara itu, Rozali turut mengucapkan syabas serta terima kasih kepada semua 169 pegawai dan anggota termasuk 41 penyelam daripada lima pasukan penyelamat yang terlibat dalam SAR tersebut.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha semua pihak berkuasa terlibat yang saling menyokong menggunakan kepakaran serta aset masing-masing,” katanya.

Agensi yang terlibat itu adalah Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tentera Laut Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Bomba dan Penyelamat.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk T. Narenasegaran berkata, mangsa disahkan masih berada di tempat duduk pemandu dan memakai tali pinggang keselamatan ketika SUV berkenaan dinaikkan.

“Kita juga berjaya menemukan dompet mangsa yang sekali gus mengesahkan identitinya sebagai Yun Peng dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×