SUNGAI PETANI 2 Jan. – Seramai 212 orang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pasir di sini, menerima sumbangan berupa alat tulis daripada Pasukan Pelindung Kanak-Kanak Daerah Kuala Muda (PPKDKM), semalam.
Pengerusinya, Khairul Anuar Zainol berkata, pihaknya berharap sumbangan yang keseluruhannya berjumlah RM2,000 itu dapat meringankan beban ditanggung ibu bapa pelajar-pelajar tersebut, khususnya mereka yang berpendapatan rendah.
Katanya, turut diadakan ceramah berkaitan jenayah yang disampaikan oleh Pegawai Cawangan Pengangkutan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Inspektor Muhamad Fadlee Muhamad Saleh.
“Ceramah berkaitan jenayah dari Muhamad Fadlee yang sebelum ini adalah Pegawai Siasatan Jenayah daerah Kulim adalah bagi memastikan pelajar sekolah tidak terjebak dengan jenayah,” katanya sempena Program Saya Sayang Sekolah Saya 2019 di sini.
Yang turut hadir Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sungai Pasir, Ruslan Ahmad.
Pengetua SMK Sungai Pasir, Mohd. Isa Abu Bakar ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada pihak PPKDKM di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Kuala Muda kerana sumbangan diberikan itu. – UTUSAN ONLINE









