20 tan mercun, bunga api RM3 juta dirampas - Utusan Malaysia

20 tan mercun, bunga api RM3 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 2 Jan. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya merampas sejumlah 20 tan mercun dan bunga api pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM3 juta pada harga pasaran yang disimpan di kediaman mewah jenis semi D di sebuah taman perumahan berpengawal di Bandar Lahat Mines di sini, Khamis lalu.

Dalam operasi pukul 9 malam hasil maklumat orang awam serta risikan JKDM selama seminggu, seorang lelaki berusia 37 tahun yang merupakan pemilik rumah, juga telah ditahan setelah dipanggil untuk membuka kediaman tidak diduduki itu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM, Datuk Azimah Abd Hamid berkata, kesemua mercun dan bunga api berkenaan disimpan dalam 640 kotak yang disusun di ruang kosong tanpa perabot di tingkat bawah kediaman tersebut.

“Jumlah 20 tan mercun dan bunga api itu dianggarkan sebanyak satu kontena 40 kaki yang disimpan di dalam rumah. Perkara ini boleh membahayakan jiran-jiran sekiranya ia meletup.

“Kita syaki barang larangan ini yang  berkemungkinan diimport dari China, disimpan untuk pasaran sempena Tahun Baharu Cina. Ini merupakan rampasan terbesar di seluruh negara pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di JKDM Ipoh di sini hari ini dan turut dihadiri oleh Pengarah Kastam negeri, Mohd Nordin Abdullah.

Dalam pada itu, Azimah berkata, suspek tersebut yang telah direman selama lapan hari, akan dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh dalam masa terdekat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang larangan kastam secara sedar.

Tambah beliau, di bawah peruntukan itu, sekiranya sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang dan maksimum 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN