SUNGAI PETANI 21 Jan. – Dua penjenayah terpaksa pulang tangan kosong apabila mereka gagal memecahkan cermin pameran barangan berharga, dalam cubaan merompak sebuah kedai emas di Jalan Ibrahim di sini hari ini.
Kejadian berlaku pukul 10.10 pagi sebaik sahaja pemilik premis itu membuka kedai untuk memulakan perniagaan bersama beberapa orang pekerja.
Dua lelaki bermotosikal kemudian meluru masuk ke dalam premis dengan seorang daripadanya bersenjatakan sepucuk pistol manakala rakannya, tukul besi.
Suspek seterusnya bertindak memecahkan cermin pameran barangan kemas berkali-kali tetapi gagal, lalu melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, anggotanya bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan.
“Siasatan lanjut mengenai kejadian masih dijalankan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya di sini.
Difahamkan, kejadian itu merupakan kali kedua melibatkan premis berkenaan dengan yang pertama pada 15 Disember tahun lalu. – UTUSAN ONLINE










