151 murid, pelajar Orang Asli terkandas - Utusan Malaysia

151 murid, pelajar Orang Asli terkandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 6 Jan. – Seramai 151 murid dan pelajar Orang Asli di tiga pos pedalaman Orang Asli di sini masih belum memulakan sesi persekolahan 2019 kerana terkandas akibat jalan balak rosak.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, mereka yang terkandas itu tinggal di Pos Bihai, Pos Balar dan Pos Belatim.

Beliau berkata, ketika ini usa­ha mengeluarkan murid dan pelajar melalui jalan darat sedang giat dilakukan oleh pihak kontraktor yang dilantik Jakoa.

“Pelajar-pelajar tersebut tidak dapat hadir ke sekolah di sekitar bandar ini disebabkan masalah jalan perhubungan rosak dan terputus akibat hujan.

“Pihak kontraktor yang dilantik masih berusaha membantu mengeluarkan pelajar yang terlibat untuk ditempatkan di asrama sekolah di bandar ini,” katanya di sini hari ini.

Hashim Alang berkata, mengikut rekod Jakoa, maklumat kehadiran pelajar Orang Asli yang memulakan sesi persekolahan di jajahan itu pada minggu pertama ialah seramai 692 orang untuk sekolah menengah dan 1,862 orang bagi sekolah rendah.

“Pelajar Orang Asli itu bersekolah di lapan buah sekolah menengah di bandar ini dan 11 buah sekolah rendah,” katanya.

Tambah Hashim Alang, usaha membawa keluar pelajar dari kawasan itu akan diteruskan melalui jalan darat bagi membolehkan mereka mengikuti sesi persekolahan di minggu kedua.

Bagaimanapun katanya, jika masih gagal, alternatif terakhir akan dilakukan menerusi pengangkutan udara oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Sejak banjir besar tahun 2014 kita telah bekerjasama dengan Unit Udara JBPM bagi membawa pelajar terkandas di pos pedalaman untuk bersekolah.

“Antara murid dan pelajar yang berjaya dibawa keluar me­lalui jalan ba­lak adalah dari Pos Simpor, Pos Gob, Pos Tohoi dan Pos Hau,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN