PUTRAJAYA – Sebanyak 1,453 amaran bertulis dikeluarkan dan 3,879 nasihat diberikan kepada individu sehingga 12 tengah hari, hari kedua penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan yang bermula tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, seramai 611 anggota penguatkuasaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melawat 2,786 tempat makan termasuk yang beroperasi 24 jam sehingga tempoh itu.
“Anggota penguatkuasa KKM sudah diingatkan supaya tidak mengeluarkan kompaun dalam tempoh enam bulan penguatkuasaan pendidikan larangan tersebut dan hanya boleh memberikan amaran bertulis sahaja,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.
Larangan merokok di tempat makan bermula semalam di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.
Selepas tempoh penguatkuasaan pendidikan selama enam bulan, mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Dzulkefly berkata, sebahagian besar mereka yang menerima notis amaran bertulis dan nasihat mendakwa mereka tidak menyedari larangan merokok di tempat makan yang sudah berkuat kuasa. – Bernama










