KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,200 aduan berhubung ahli keluarga terlibat dalam aktiviti tidak bermoral sehingga menyebabkan keretakan rumah tangga serta masalah sosial dalam keluarga diterima Jabatan Imigresen Kuala Lumpur (JIKL) sepanjang tahun 2018.
Kesemua aduan yang dikirim ahli keluarga masing-masing itu diterima melalui e-mel serta surat oleh JIKL serta Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya.
Kosmo! difahamkan kebanyakan pengadu bangsa Cina bertindak sedemikian selepas tidak tahan dengan perangai ahli keluarga termasuk diganggu ah long akibat meminjam wang bagi aktiviti perjudian.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, bertindak atas aduan serta risikan pihak imigresen akan menyerbu premis yang dinyatakan.
Katanya, kebanyakan premis itu menjalankan aktiviti tidak bermoral seperti perjudian, pelacuran serta pusat karaoke yang menyajikan perkhidmatan tertentu.
“Banyak aduan kita terima berkaitan suami, bapa serta ahli keluarga terlibat dalam aktiviti tidak sihat sehinggakan berlaku kes penceraian serta masalah sosial dalam keluarga.
“Berdasarkan aduan itu, kita akan buat risikan terlebih dahulu bagi memastikan aduan yang dibuat itu berasas sebelum melakukan serbuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menahan 50 gadis pelayan pelanggan (GRO) dalam Ops Mega Penutup 2018 di tiga lokasi berasingan di sekitar ibu kota awal pagi tadi. – K! ONLINE










